Friday, January 22, 2010

Rukun Negara Malaysia

Sungguhpun tidak termasuk ke dalam perlembagaan dan tidak bersifat undang-undang, tetapi Rukun negara telah diisytiharkan oleh yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970 dan diterima oleh semua lapisan masyarakat sama ada daripada parti pemerintah mahupun parti pembangkang.

Tujuan besar rukun negara adalah untuk dijadikan budaya rakyat dan diamalkan oleh masyarakat semua peringkat. Oleh itu, diharapkan Rukun negara akan menjadi satu pegangan hidup yang boleh menyatupadukan rakyat yang bebilang keturunan dan agama. Apabila semua keturunan rakyat di Malaysia mempunyai haluan yang sama dan pegangan hidup yang serupa, maka dapatlah mereka mengelakkan perkara-perkara yang berkait dengan soal perkauman.

Pada mula rukun negara dilancarkan, sambutan rakyat amat hangat. Seluruh sekolah melafazkan rukun negara dalam setiap perhimpunannya. Malangnya, semakin jauh meninggalkan tarikh perisytiharannya, rukun negara menjadi semakin lembap. Hingga sekarang nampaknya rukun negara hanya diproklamasikan setahun sekali iaitu pada perhimpunan Hari Kebangsaan.

Rakyat Malaysia sangat mudah terlupa akan nilai bangsa. Mereka seolah-olah lemas oleh ombak pembangunan dan kemajuan. Mereka lupa kepada asuhan rohani yang akan menjadi tulang belakang kepada kehidupan rakyat pada waktu-waktu yang tertentu.

Rukun negara ada dua bahagian iaitu kenyataan cita-cita dan kenyataan prinsip-prinsip. Kenyataan cita-cita adalah seperti berikut:-

Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita:

  • Hendak mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat;
  • Memelihara satu cara hidup demokratik;
  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
  • Menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak;
  • Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.’
Ini diikuti dengan kenyataan prinsip-prinsip rukun negara:

Maka kami, rakyat Malaysia, berikrar dan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

  • Kepercayaan kepada Tuhan
Perlembagaan Malaysia memeteraikan bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara ini tetapi agama-agama lain adalah bebas dianuti oleh orang Malaysia yang berketurunan lain. Ini dengan sendirinya menunjukkan bahawa agama itu penting dan selaras dengan tujuannya untuk mengasuh penganut-penganutnya supaya mengamalkan budaya berbaik-baik dan penyayang antara satu sama lain serta meninggalkan perkara-perkara buruk.
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Malaysia mengamalkan pemerintahan beraja dengan yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang berdaulat. Seri Paduka Baginda adalah lambang perpaduan rakyat dan mohor pemerintahan di peringkat persekutuan. Begitu juga dengan kedudukan takhta di negeri-negeri yang juga merupakan mohor pemerintahan di peringkat negeri.

Kedudukan Seri Paduka Baginda, sungguhpun dipilih lima tahun sekali, secara bergilir-gilir antara sembilan buah takhta tetapi Seri Paduka Baginda tidak terlibat dengan pergolakan politik dan bersifat berkecuali dan Seri Paduka Baginda adalah simbol dan jaminan kestabilan politik negara.
  • Keluhuran Perlembagaan
Tiap-tiap negara mempunyai keistimewaan untuk rakyatnya sebagai warganegara. Perlembagaan memberi kepada rakyat hak yang tertentu. Tiap-tiap rakyat menjunjung perlembagaan dan bendera. Setiap warganegara wajib menghormati falsafah perlembagaan, latar belakangnya dan tujuannya. Perlembagaan memberi jaminan hidup kepada rakyatnya yang taat setia. Tanggungjawab seseorang warganegara ialah menjunjung dan mempertahankan perlembagaan dan sanggup memperjuangkan nyawa untuk mempertahankannya. Perlembagaan memberi jaminan dan perlindungan kepada rakyatnya dalam fasal-fasal yang tertentu seperti kedudukan Seri Paduka diperingkat persekutuan dan raja-raja di peringkat negeri.

Begitu juga dengan fasal-fasal seperti kebebasan beragama di samping agama rasmi iaitu Islam, hak, taraf kerakyatan, bahasa kebangsaan dengan jaminan kepada bahasa ibunda yang lain. Hak istimewa orang Melayu dikaitkan dengan hak kerakyatan dari bangsa lain.
  • Kedaulatan Undang-undang
Tiap-tiap badan sama ada badan sukarela, badan awam atau antara suami isteri ada undang-undang yang mengawalnya. Begitulah dengan sesebuah negara. Undang-undang itu boleh diibaratkan sebagai jalan kereta api. Pergerakan dan aktiviti sesebuah badan itu merupakan gerabak dan jenteranya. Jika jentera itu trgelincir daripada landasan maka dengan sendiri barang-barang dalam gerabak itu berkecai.

Tiap-tiap rakyat dari semua peringkat sama ada kaya atau miskin, cacat atau segar adalah sama sahaja dari segi undang-undang. Kehakiman adalah tempat akhir rakyat meletakkan harapan. Hakim-hakim mempunyai kerja semata-mata menterjemahkan undang-undang. Jika keputusan dibuat maka adalah diharapkan kedua pihak (yang menuduh dan yang dituduh) berpuas hati atas keadilan yang mereka terima.
  • Kesopanan dan Kesusilaan
Sifat kesopanan dan kesusilaan dalam diri seseorang memberikan hak kepada mereka untuk menguruskan hal masing-masing. Tatasusila membenci sikap angkuh dan perbuatan sombong yang boleh menyinggung perasaan orang lain. Kualiti kesopanan dan kesusilaan mempunyai kaitan rapat dengan adat resam dengan tradisi dan berpegang rapat dengan adat resam maka dengan sendirinya seseorang itu mempunyai sifat kesopanan dan kesusilaan yang tinggi.

Itulah sebabnya di setiap negeri di Tanah Melayu ini ditubuhkan satu jabatan untuk menguruskan adat istiadat orang Melayu. Pepatah ada berkata, ‘Biar mati anak jangan mati adat’.

Rukun negara adalah ‘nadi’ kepada rakyat Malaysia. Selagi ‘nadi’ itu berdenyut dan diamalkan oleh rakyat maka selama itulah Malaysia akan dapat mengekalkan hidup rukun damai dan menyayangi antara satu dengan lain. Amalan rukun negara adalah merupakan garisan kepada rakyat Malaysia untuk menentukan masa depannya. Rukun negara hendaklah dimasukkan ke dalam ‘darah daging’ penduduk supaya amalan itu menggerakkan semangat dan sifat rakyat dengan memegang satu pedoman iaitu hidup rukun antara satu dengan lain. Rukun negara merupakan satu prinsip yang mendenyutkan perasaan dan semangat yang sama di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan dan agama.

Generasi muda hendaklah mengambil berat dan menyerapkan rukun negara ke dalam hati sanubari masing-masing untuk menjamin supaya perpaduan dan keteguhan Malaysia sentiasa terpelihara.



*Sumber: Tun Razak Putera Titiwangsa – Shariff Ahmad


*Respect kt Stesen Radio Hot Fm yg tlh m’ambil langkah bijak iaitu m’ingatkn rakyat Malaysia dgn Prinsip Rukunegara.

No comments: